2013
Selamat tahun baru. Benar, sekejap sahaja masa ini berlalu. Tahun
ini aku berusia 24 tahun. Usia yang cukup dewasa. Aku lantas teringat Sultan
Muhammad Al-Fateh yang membuka kota konstantinapole ketika berusia 24 tahun. Beliau
adalah mukmin yang disebut oleh Rasulullah saw sebagai sebaik-baik pemimpin,
dan beliau memimpin sebaik-baik tentera. Segala puji bagi Allah, yang
menjadikan kehidupan umat terdahulu sebagai teladan untuk kita generasi hari
ini. Apakah kita mengambil iktibar atau tidak.
Usia 24 tahun itu pasti dilalui dengan proses-proses
pembinaan diri pada hari-hari sebelumnya. Aku menoleh, melihat apa yang telah
dilakukan. Astaghfirullah, hanya mampu memohon istighfar di atas kelalaian dan
kealpaanku selama ini. Semoga Allah yang Maha Pengampun, mengampuni
dosa-dosaku, dan membimbingku ke jalan yang lurus.
1 Jan 2013- hari ini aku berkesempatan untuk mengikuti
program 1000 Jiwa 1 Hari di Masjid Negeri, Shah Alam. Program ini adalah
kesinambungan bagi program Anda Bijak Jauhi Zina. Wawasan NGO yang menganjurkan
program ini adalah untuk menjadikan tahun 2020 sebagai tahun sifar gejala
sosial. Wawasan itu bukan angan-angan. Mereka yang bekerja pasti meyakini,
wawasan itu akan tercapai. Aku tersentak, muhasabah. Aku perlu membina diri
aku, menjauhi jalan-jalan menuju kepada zina. Sungguh, zina adalah fitnah yang
sangat besar dalam menjalani hidup ini. Ya Allah, peliharalah pandangan kami,
pendengaran kami, lidah kami, fikiran kami dan kehormatan kami daripada zina. Jauhilah
kami dan zuriat keturunan kami daripada zina. Aku mendoakan remaja-remaja yang
mengikuti program ini dipelihara Allah dalam segenap keadaan, moga mereka
menjadi remaja berjiwa kuat dan boleh membentuk generasi hebat.
Azam baru, pasti ada. Namun perlu diingatkan, azam baru
bukan kerana menyambut tahun baru, tetapi kerana mukmin yang lebih baik dari
semalam adalah mukmin yang beruntung. Begitulah sabda Rasulullah saw. Aku berazam
untuk menjadi lebih berkeyakinan dengan memasakkan keyakinan kepada Allah. Hidup
ini anugerah Allah, untuk beramal soleh. Moga ada tuaian di akhirat sana.
No comments:
Post a Comment