Tuesday, January 1, 2013


2013

Selamat tahun baru. Benar, sekejap sahaja masa ini berlalu. Tahun ini aku berusia 24 tahun. Usia yang cukup dewasa. Aku lantas teringat Sultan Muhammad Al-Fateh yang membuka kota konstantinapole ketika berusia 24 tahun. Beliau adalah mukmin yang disebut oleh Rasulullah saw sebagai sebaik-baik pemimpin, dan beliau memimpin sebaik-baik tentera. Segala puji bagi Allah, yang menjadikan kehidupan umat terdahulu sebagai teladan untuk kita generasi hari ini. Apakah kita mengambil iktibar atau tidak.

Usia 24 tahun itu pasti dilalui dengan proses-proses pembinaan diri pada hari-hari sebelumnya. Aku menoleh, melihat apa yang telah dilakukan. Astaghfirullah, hanya mampu memohon istighfar di atas kelalaian dan kealpaanku selama ini. Semoga Allah yang Maha Pengampun, mengampuni dosa-dosaku, dan membimbingku ke jalan yang lurus.

1 Jan 2013- hari ini aku berkesempatan untuk mengikuti program 1000 Jiwa 1 Hari di Masjid Negeri, Shah Alam. Program ini adalah kesinambungan bagi program Anda Bijak Jauhi Zina. Wawasan NGO yang menganjurkan program ini adalah untuk menjadikan tahun 2020 sebagai tahun sifar gejala sosial. Wawasan itu bukan angan-angan. Mereka yang bekerja pasti meyakini, wawasan itu akan tercapai. Aku tersentak, muhasabah. Aku perlu membina diri aku, menjauhi jalan-jalan menuju kepada zina. Sungguh, zina adalah fitnah yang sangat besar dalam menjalani hidup ini. Ya Allah, peliharalah pandangan kami, pendengaran kami, lidah kami, fikiran kami dan kehormatan kami daripada zina. Jauhilah kami dan zuriat keturunan kami daripada zina. Aku mendoakan remaja-remaja yang mengikuti program ini dipelihara Allah dalam segenap keadaan, moga mereka menjadi remaja berjiwa kuat dan boleh membentuk generasi hebat.

Azam baru, pasti ada. Namun perlu diingatkan, azam baru bukan kerana menyambut tahun baru, tetapi kerana mukmin yang lebih baik dari semalam adalah mukmin yang beruntung. Begitulah sabda Rasulullah saw. Aku berazam untuk menjadi lebih berkeyakinan dengan memasakkan keyakinan kepada Allah. Hidup ini anugerah Allah, untuk beramal soleh. Moga ada tuaian di akhirat sana.

Tuesday, May 22, 2012

Cintai ILMU


Bismillahirrahmanirrahim


"Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan orang yang diberi ilmu  sebahagian daripada kamu beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan." (Al-Mujadilah: 11)


Di dalam ayat ni, Allah menjelaskan tentang golongan yang diangkat darjatnya di sisi Allah.
Mereka adalah golongan yang beriman dan golongan yang diberi ilmu pengetahuan.
Secara tidak langsung kita dapat lihat di sini, hubungan antara iman dan ilmu itu adalah sangat dekat dan saling berkaitan. Tiada iman tanpa ilmu; dan tiada ilmu tanpa iman.


Allah mendahulukan iman untuk menyedarkan kita akan hakikat iman itu sendiri. Apabila adanya iman, iman akan mendorong empunya diri untuk menuntut ilmu pengetahuan untuk mengenal Allah dan agama-Nya. Jika tiada iman, tiada pecutan di dalam jiwa yang mengarahkan seseorang untuk menuntut ilmu. 


Oleh itu, dapatlah kita menilai di dalam pengajian kita, terdapat pelajar yang rajin benar berusaha atau sedikit rajinnya atau sekejap rajin sekejap tidak atau tiada kerajinan langsung.. Ini semua bergantung kepada keimanan mereka..


Ayuh, perbaiki iman.. Bagaimana hendak perbaiki iman? Berusahalah untuk memperoleh ilmu tentang iman..


Namun jangan lupa, ulama' juga menyatakan bahawa  "ilmu itu sebelum amal" iaitu kita perlu mencari ilmu dahulu, kemudian barulah kita beramal. Tidak mungkin untuk kita beramal sedangkan kita tidak tahu bagaimana untuk beramal. Bagaimana untuk beramal itulah menuntut kita untuk memperoleh ilmu. Boleh beramal tanpa ilmu? Itu sesat namanya..


Ya, seperti dikatakan di atas, iman dan ilmu saling berkaitan dan saling berhubung di antara satu sama lain. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Sesiapa yang memisahkannya, maka rosaklah kedua-duanya.


Al-Mutahammis

Wednesday, March 14, 2012

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah.

Akhirnya dapat kutampilkan sesuatu yang selama ini amat ku harapkan.

Sesuatu yang telah lama dilaksanakan oleh mereka yang seusia denganku, mereka yang hidup sezaman denganku.

Bukanlah aku tidak mahu, cuma aku kurang bersungguh merebut peluang yang berlaku seiring zaman hidupku ini.

Alhamdulillah, kini kusedari dan mencuba untuk melaksanakannya.

Semoga Allah membimbingku.

Berkongsi untuk meluaskan pengalaman, menyebarkan kebaikan, mempelajari kesilapan dan mengukir secebis amal.

Wallahu a'alam.